RSS

KENYATAAN YB MENTERI KESIHATAN

KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI KESIHATAN

“ Perluasan Kawasan Larangan Merokok Bagi Meliputi Semua Pejabat Swasta Dengan Sistem Hawa Dingin Berpusat

Bagi tujuan melindungi rakyat Malaysia khususnya para pekerja daripada bahaya asap rokok basi (secondhand smoke), Kementerian Kesihatan akan meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 untuk memperluaskan lagi kawasan larangan merokok bagi meliputi semua tempat kerja dengan sistem hawa dingin berpusat sebagai kawasan larangan merokok. Peraturan baru ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2010.

Para pekerja yang secara puratanya menghabiskan masa selama 8 jam sehari di tempat kerja perlu dilindungi daripada bahaya asap rokok basi. Langkah mewartakan tempat kerja dengan sistem hawa dingin berpusat sebagai kawasan larangan merokok bertujuan memelihara tahap kesihatan para pekerja agar mereka sentiasa sihat, produktif dan tidak menanggung beban kos rawatan penyakit-penyakit akibat daripada pendedahan kepada asap rokok basi seperti penyakit sistem pernafasan, penyakit jantung dan penyakit kanser.

Pertambahan kawasan larangan merokok di tempat kerja berhawa dingin berpusat ini akan menjadikan jumlah kawasan larangan merokok sebanyak 21 kawasan seperti di Lampiran 1.

Pindaan peraturan-peraturan ini juga adalah untuk memenuhi komitmen Negara terhadap Perjanjian Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang mana Malaysia telah menjadi Negara Parti sejak Disember 2005. Artikel 8, WHO, FCTC yang bertajuk ‘Perlindungan Dari Pendedahan Kepada Asap Tembakau’ menegaskan bahawa kajian saintifik telah membuktikan pendedahan kepada asap tembakau menyebabkan kematian, penyakit dan kecacatan. Semua Negara Parti disaran agar mengambil langkah untuk melindungi orang ramai dari pendedahan kepada asap tembakau di tempat kerja, tempat-tempat awam tertutup dan pengangkutan awam.

Mana-mana orang yang gagal mematuhi peraturan larangan merokok di tempat kerja berhawa dingin berpusat ini boleh didenda sehingga RM 10,000.00 atau dipenjara sehingga 2 tahun.

Bagi tujuan melindungi orang awam dari bahaya asap tembakau dan tabiat merokok, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan aktif dan tegas. Sebanyak 10,033 kali operasi PPKHT telah dijalankan di seluruh negara sepanjang tahun 2009 dan sebanyak 38,812 buah premis dan tempat telah diperiksa. Sejumlah 11,980 Notis Kesalahan dan 6,619 kompaun kesalahan telah dikeluarkan sepanjang tahun lepas, ini memberikan jumlah nilai kompaun sebanyak RM 1,419,136. Selain daripada itu, sebanyak 4,351 kes pelanggaran PPKHT telah didaftar ke mahkamah dan seramai 670 orang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dengan nilai denda sebanyak RM 147,098 manakala seorang telah dijatuhkan hukuman penjara. Pencapaian penguatkuasaan PPKHT 2004 adalah seperti di Lampiran 2.

Asap rokok mengandungi lebih daripada 4000 jenis bahan kimia yang merosakkan kesihatan dan tabiat merokok telah disahkan sebagai penyebab pelbagai masalah kesihatan dan penyakit-penyakit serius yang boleh membawa kepada kematian. Pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau ini bertujuan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada bahaya asap rokok basi dan tidak memulakan tabiat merokok. Bagi memastikan inisiatif baru ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen kesedaran awam yang berterusan agar semua pihak termasuk individu dan penjual rokok bersama-sama bertanggungjawab melaksanakan inisiatif ini secara pematuhan kendiri.

Adalah menjadi harapan saya, agar orang ramai sedar tentang bahaya merokok. Generasi muda dinasihatkan agar tidak memulakan tabiat merokok yang merugikan dan merosakkan kesihatan ini. Kementerian Kesihatan Malaysia melalui perkhidmatan berhenti merokok sedia membantu para perokok untuk menghentikan tabiat yang terbukti memudaratkan ini. Sayangilah diri dan keluarga anda dan berhentilah merokok. Bersama-sama kita berusaha menuju masyarakat yang bebas rokok.

Kementerian Kesihatan Malaysia.

31 Mei 2010.

Lampiran 1

KAWASAN LARANGAN MEROKOK DI BAWAH PERATURAN-PERATURAN KAWALAN HASIL TEMBAKAU 2004

1. di dalam pusat hiburan atau teater, kecuali pub, disko, kelab malam atau kasino

2. di mana-mana kawasan hospital atau klinik

3. di dalam lif atau tandas awam

4. di dalam tempat makan atau kedai berhawa dingin

5. di dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam

6. di dalam bangunan yang dinyatakan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta

7. di mana-mana kawasan lapangan terbang

8. di mana-mana kawasan premis kerajaan

9. di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan

10. di mana-mana kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi

11. di mana-mana kawasan taman asuhan kanak-kanak

12. di dalam bas sekolah

13. di mana-mana tingkat dalam bangunan yang mempunyai kaunter perkhidmatan bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan Pos Malaysia

14. di mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli-belah

15. di mana-mana kawasan di dalam stesyen minyak

16. di mana-mana kawasan di dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium

17. di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan

18. di mana-mana kawasan di dalam perpustakaan

19. di mana-mana kawasan di dalam kafe internet dan

20. di mana-mana kawasan di dalam tempat latihan khidmat negara

21. di mana-mana tempat kerja berhawa dingin dengan sistem hawa dingin berpusat

LAMPIRAN 2

PENCAPAIAN AKTIVITI PENGUATKUASAAN

PERATURAN-PERATURAN KAWALAN HASIL TEMBAKAU (PPKHT) 2004

Bilangan Operasi Penguatkuasaan Di Bawah PPKHT 2004

Bagi Tahun 2009

Aktiviti

2009

Jumlah Operasi PPKHT Dijalankan

10,033

Bilangan Premis / Lokasi Diperiksa

38,812

Pengeluaran Kompaun/Notis Di Bawah PPKHT 2004

Bagi Tahun 2009

Aktiviti

2009

Bilangan Notis Kesalahan Dikeluarkan

11,980

Bilangan Kompaun Dikeluarkan

6,619

Nilai Kompaun Dikeluarkan (RM)

1,419,136

Bilangan Kompaun Dijelaskan

6,304

Nilai Kompaun Yang Dibayar (RM)

556,180

Pengeluaran Notis Di Bawah PPKHT 2004

Mengikut Jenis Kesalahan Tahun 2009

Peraturan

Kesalahan

2009

Peraturan 8(1)

Menjual hasil tembakau kepada seseorang belum dewasa

78

Peraturan 9(1)

Menjual hasil tembakau dalam paket yang dibuka

85

Peraturan

Kesalahan

2009

Peraturan 11(1)

Merokok di tempat yang dilarang merokok

8,939

Peraturan 12(1)(a)

Gagal Mempamerkan tanda larangan merokok

200

Peraturan 12(1)(b)

Gagal memastikan tiada seorang pun merokok dalam premis atau kenderaan

13

Peraturan 13(1)

Orang belum dewasa yang merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikan hasil tembakau

2,482

Peraturan 14(1)

Gagal mempamerkan suatu tanda mengenai larangan jualan hasil tembakau kepada seseorang belum dewasa

183

Jumlah

11,980

Pengeluaran Kompaun Di Bawah Subperaturan 11(1) PPKHT 2004

Mengikut Kawasan Larangan Merokok Bagi Tahun 2009

Kawasan Larangan Merokok

2009

Tempat hiburan atau teater

464

Hospital atau Klinik

765

Lif dan Tandas Awam

15

Tempat Makanan dan kedai berhawa dingin

82

Kenderaan awam atau hentian pengangkutan

1,108

Bangunan yang diwartakan oleh Menteri

18

Lapangan Terbang

84

Premis Kerajaan

409

Kawasan Larangan Merokok

2009

Bangunan untuk perhimpunan

5

Institusi Pendidikan

60

Taman Asuhan Kanak-kanak

5

Kaunter Perkhidmatan

5

Kompleks membeli belah

1,268

Stesyen Minyak

136

Stadium dan kompleks sukan

76

Kafe Internet

40

Jumlah

4,540

Tindakan Mahkamah Di Bawah Peraturan-Peraturan Kawalan

Hasil Tembakau 2004 Bagi Tahun 2009

Aktiviti

2009

Bilangan Kes Daftar Di Mahkamah

4,351

Bilangan Didenda

670

Amaun Denda (RM)

147,098

Bilangan Dipenjara

1

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment